Tahukah
anda kecantikan itu bagaimana? Mungkin dari pandangan anda kecantikan hanya
terbatas pada luaran sahaja iaitu yang cantik adalah yang berkulit putih,
tinggi, hidung mancung, bibir merah dan sebagainya. Perkataan cantik telah
disalah erti sedemikian rupa, sehingga menukarkan hakikat cantik yang
sebenarnya. Sebenarnya, kecantikan luar biasa yang ada dalam diri seorang adalah kecantikan hati kerana kecantikan itu
terbitnya dari hati.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat luaran kalian dan
rupa kalian akan tetapi Allah melihat hati
kalian” – (HR.Muslim)
Seseorang
yang berjaya dalam hidup ialah seseorang
yang walaupun rupa parasnya tidak cantik tetapi keperibadiannya amat
menyenangkan. Bukan semata-mata fokus kepada luaran sahaja tetapi lebih fokus
kepada ‘recovery’ iaitu iman yang nampak jelas dalam sikap dan prinsip hidup
yang mana kukuh dan tidak goyah.
Kita
sebagai makhluk, seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh
Allah tanpa meminta lebih lagi. Redha dengan bentuk tubuh dan wajah yang
dianugerahkan Allah kerana inilah bentuk terbaik menurut-Nya. Andai kita bisa
memilih untuk memiliki wajah dan keperibadian yang cantik itu memang lebih
baik, tetapi tidak semua makhluk dianugerahkan
seperti itu. Itulah maha keadilan Allah, ada kelebihan dan kekurangan
dalam diri setiap makhluk.
Tidak
menghairankan, betapa cantik dan menarik fizikal seorang, maka ia akan terlihat
sangat jijik dan hina apabila dirinya dikuasai amarah atau nafsu untuk
menyakiti orang lain. Maka binalah sikap dan cara berfikiran positif. Aura
kecantikan anda semakin bersinar terang dan diri anda terlihat jauh lebih muda
dan segar apabila anda selalu berfikiran positif. Selain itu, Cinta dan kasih
sayang yang tulus dari dalam hati menjadikan seluruh aspek di dalam diri anda
terlihat istimewa. Cinta dan kasih sayang akan memancarkan aura kecantikan anda
yang luar biasa. Semakin banyak cinta yang dipancarkan tanpa syarat, maka
semakin tinggi aura kecantikan yang dimiliki. Satu perkara yang paling penting untuk difahami bahawa
kecantikan itu terpancar dari dalam hati yang damai. Aura kecantikan tidak
dapat timbul dari dalam jiwa yang kosong dan hampa. Hati yang damai juga tidak
dapat digantikan dengan kekayaan, kecantikan tubuh atau wajah, pangkat, darjat
dan sebagainya.
Pada
dasarnya, penampilan memang penting supaya seorang itu terlihat rapi, cantik
dan menarik. Tetapi hati itu ternyata jauh lebih penting, kerana kecantikan
yang berasal dari kemurnian hati dan jiwa lebih mudah menjadi pusat kekaguman
ramai makhluk. Pesanan saya, jagalah diri dan kecantikan hati atau keluhuran
budi pekerti betapapun cantiknya Anda kerana kecantikan yang sejati bukanlah
cantiknya wajah tetapi apa yang ada di dalam hati. Maka percantiklah hatimu
agar dicintai dan dirindukan semua orang.
No comments:
Post a Comment