~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Friday 4 May 2012

...Isu Antarabangsa: Kes Pemerdagangan Manusia...

Sejak akhir-akhir ini, kes pemerdagangan manusia merupakan masalah global atau isu antarabangsa yang kian meningkat jumlah statistiknya. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 sahaja dianggarkan 700,000 orang diperdagang setiap tahun bagi tujuan seks. Bagaimanapun, amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Pemerdagangan manusia ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan kira-kira 150,000 orang, majoriti daripadanya adalah kanak-kanak, diseludup dari kawasan Asia Selatan setiap tahun, tetapi penyelidik membuat jangkaan angka ini mungkin tiga kali ganda berikutan keuntungan yang dijana industri itu kira-kira RM110.5 bilion (US$32 bilion) setahun.
Sebenarnya, kesedaran masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia ini masih lagi rendah malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Pemerdagangan manusia bermaksud perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi (Seksyen 2 AAO). Di mana modus operandi termasuklah, penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan, dan memberi atau menerima pembayaran. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah perdagangan manusia ini adalah penguatkuasaan undang- undang yang lemah, kurang pendedahan mengenai jenayah pemerdagangan manusia, kemiskinan atau kesempitan hidup, terpengaruh tawaran kerja, kurang didikan moral atau agama, materialistik dan sebagainya.
Jenayah pemerdagangan manusia ini banyak memberi kesan buruk kepada negara. Langkah berkesan amat perlu untuk membendung masalah ini. Antara kesan buruknya adalah meningkatkan kes berlakunya jenayah dalam negara, menyebabkan imej negara tercemar di peringkat dunia, masalah sosial meningkat, penyakit berjangkit merebak dan banyak berlakunya penindasan.
Walau bagaimanapun Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan usaha bagi membendung isu pemerdagangan manusia ini.  Kerajaan mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.
 Berikutan itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan. Kerjasama maksimum daripada orang awam dan agensi penguatkuasa juga dipertingkatkan. Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin memberi jaminan polis akan mengambil langkah berterusan memerangi pemerdagangan manusia dengan mengadakan lebih banyak operasi dalam usaha menyelamatkan mangsa sindiket. 
Ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Kesimpulannya, Ditelan mati emak, diluah mati bapa, Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana. Aktiviti pemerdagangan orang ini mempunyai jaringan dan sindiket profesional yang harus dilihat secara menyeluruh dan jika tidak dibanteras secepat mungkin kerana ianya boleh menjejaskan imej, prestasi dan nama baik negara di mata dunia terutama imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.


No comments:

Post a Comment