~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Wednesday 2 May 2012

...Kerjaya Pilihan Saya...


Saya sering kali ditanya dan mungkin terfikir apakah kerjaya pilihan yang sesuai dengan diri saya. Kerjaya apakah yang mampu menjadikan saya berjaya di dunia mahupun di akhirat. Kerjaya seperti apakah yang mampu memberikan saya kepuasan daripada bentuk keberkatan, masa, gaji,
 semangat melakukannya dan lain-lain. Pening juga jika memikirkannya. Adakah kerjaya seperti peguam, ahli muzik, doktor, jurutera, ahli diplomatik, arkitek atau akauntan merupakan kerjaya pilihan yang perlu dipilih?
Sebenarnya, sebelum saya menjejakkan kaki ke universiti, kerjaya pilihan saya adalah ingin menjadi seorang pendidik iaitu guru. Profesion guru boleh dikatakan menjadi pilihan utama berbanding profesion yang lain. Ramai juga yang sudah bekerja bertukar kepada profesion perguruan.
Mengapa saya ingin menjadi seorang guru? Adakah gajinya besar? Tentunya tidak. Saya memilih kerjaya sebagai seorang guru bukanlah mengejar kepada jumlah gaji yang besar dan jumlah cuti yang banyak semata-mata. Bukanlah mudah untuk menjadi guru. Waktu kerja rasmi seorang guru sperti kelas tambahan, aktiviti ko-kurikulum, membuat soalan peperiksaan, memeriksa kertas jawapan peperiksaan dan membuat perancangan pengajaran sebenarnya mengabil lebih dari 8 jam waktu kerja.
 Itu belum lagi termasuk waktu berfikir untuk mencari pendekatan-pendekatan yang sesuai bagi memberikan pemahaman kepada para pelajar. Karisma seorang guru bukan sembarangan. Hanya jika saya akan tahan untuk memegang jawatan sebagai guru. Guru bukan sekadar pengajar. Guru bukan sekadar pendidik. Tetapi gurulah yang melahirkan perdana menteri, doktor, peguam, dan sebagainya. Guru merupakan kerjaya yang sangat mulia. Atas sebab itulah saya ingin menjadi seorang guru. Saya tidak akan memilih untuk menjadi guru jika saya hanya berniat untuk mengambil keuntungan yang diberikan kerajaan kepada profesion ini kerana jika dalaman saya tidak bersih bagaimana saya harus memberikan didikan kepada anak bangsa nanti.
Saya mempunyai ramai pendorong seperti ibu saudara dan bapa saudara saya yang kebanyakkannya bekerja sebagai guru. Abang saya juga sebagai seorang guru dan terutamanya abah saya yang ingin sangat melihat satu-satu anak perempuannya menjadi seorang guru. Apa yang saya ingat, minat untuk menjadi pendidik ini mula tumbuh dan membuak-buak apabila saya menjadikan guru-guru saya sebagai idola. Keperibadian mereka yang mulia, bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu membuatkan hati saya tertawan dengan gelaran cikgu. Guru ekonomi tingkatan 6 saya semasa di sekolah menengah adalah Pn Rohani bt Abdul Rahman. Dia banyak menyuntik semangat dan minat saya untuk menjadi seorang pendidik seperti beliau. Sehinggalah selepas saya mendapat keputusan STPM saya memohon mengambil bidang Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di UPSI. Malangnya saya hanya dipanggil untuk temuduga sahaja tetapi tidak berjaya untuk memasuki universiti tersebut. Saya agak kecewa ketika itu kerana saya rasa impian saya untuk menjadi seorang guru sudah musnah. Apa-apa pun, saya tetap bersyukur kerana ditawarkan untuk memasuki UUM dan program yang ditawarkan untuk saya ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hak Ehwal Antarabangsa yang pada mulanya saya rasa memang tiada kaitan langsung dengan bidang pendidikan. Tetapi lama –kelamaan saya mampu berfikir luas iaitu untuk menjadi seorang pendidik tidak semestinya perlu mengambil program pendidikan. Walaupun saya tidak mampu menjadi guru kepada pelajar-pelajar saya tetapi saya mampu menjadi seorang guru kepada bakal anak-anak saya nanti. 
Insyaallah. Jika ada rezeki, selepas saya selesai menamatkan pengajian saya di UUM ini, saya akan teruskan usaha saya untuk menjadi seorang guru dengan menyambung pengajian saya dalam bidang pendidikan pula. Bak kata pepatah “ Usaha tangga kejayaan” dan “Genggam bara api biar sampai jadi arang”. Saya akan cuba memenuhi impian orang-orang sekeliling saya yang inginkan saya menjadi seorang guru terutamnya abah saya. Saya tidak akan sia-siakan pengorbanan abah yang tidak henti-henti memberi semangat kepada saya untuk menjadi insan mulia iaitu seorang guru.
Kesimpulanya, guru bukan sekadar seorang guru. Malah lebih dari itu. Mengajar adalah perkara yang mudah, tapi mendidik bukanlah suatu yang mudah. Memang benar, pelajar sekolah merupakan pasaran dakwah yang luas tetapi adakah guru-guru menyedari dan berusaha menggunakan peluang yang mereka ada ini. Mendidik pelajar dari sudut rohani, jasmani, minda dan spritual sehingga berjaya mengubah keadaan pelajarnya ke arah yang lebih baik merupakan tanggungjawab yang seharusnya digalas oleh setiap yang mengaku dirinya seorang pendidik. Apatah lagi, sebagai pendidik di Malaysia yang menjunjung Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dengan jelas menyebut pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan dalam memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan sepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelak, rohani, emosi dan jasmani. Sehinggalah uasaha ini berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Tetapi adakah saya akan mengambil perhatian serius dengan tanggungjawab yang besar ini nanti? Tepuk dada, tanyalah Iman. Sekiranya saya telah memilih jalan ini sebagai pilihan saya, saya perlu menggalas tanggungjawabnya dengan ikhlas dan baik, bukan menjadikannya ibarat pilihan terakhir dalam kehidupan berkerjaya saya kelak.

No comments:

Post a Comment