~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Tuesday 1 May 2012

...Tokoh Idola Saya...

Tokoh idola saya ialah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut tentang beliau, saya ingin menceritakan serba sedikit tentang latar belakang, pendidikan dan kerjaya beliau. Beliau dilahirkan pada 20 Disember 1925, di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada 9 orang bersaudara dari seorang ibu keturunan Melayu dan bapanya India Muslim. Kerjaya bapanya sebagai guru besar sekolah mempengaruhi keperibadian beliau sebagai individu yang tegas dan berdisiplin.
Pendidikan beliau bermula di sekolah Melayu Seberang Perak selama 2 tahun dan kemudiannya dilanjutkan ke sekolah Inggeris di Alor Star yang kini dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1947, beliau memasuki Universiti Malaya di Singapura dengan mengambil perubatan sebagai programnya. Di zaman persekolahan, bidang penulisan begitu menarik minatnya sehingga diangkat menjadi Ketua Sidang Redaksi dan menulis di dalam Rencana Pengarang sekolahnya iaitu Darulaman. Minatnya yang mendalam dalam penulisan turut dikembangkan ketika berada di universiti. Beliau muncul sebagai mahasiswa yang prolifik dan ketika usianya 21 tahun, beliau banyak menulis artiket di akhbar New Straits Times dan C.h.e Det merupakan nama samaran yang sering dipakai. Tun Dr. Mahathir dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada tahun 1953.
Mengenai kerjayanya pula, beliau menjawat jawatan Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Star pada tahun 1956. Kemudiannya sebagai Pegawai Perubatan di Langkawi selama enam bulan. Setelah itu, beliau kembali aktif menyumbangkan jasanya di Hospital Besar Alor Star. Beliau melepaskan jawatannya di dalam kerajaan pada tahun 1957 untuk membuka klinik persendirian di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Star yang dikenali dengan Klinik MAHA.
Penglibatannya dalam arena politik bermula pada tahun 1945, apabila secara aktif terlibat di dalam beberapa kesatuan seperti Seberkas, Kesatuan Kedah, Kesatuan Melayu Kedah dan UMNO. Namanya mula popular ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Ketika itu, beliau sering mengeluarkan pandangan yang menentang sikap toleransi Tunku Abdul Rahman yang keterlaluan terhadap etnik Cina. Bagi beliau, sikap Tunku Abdul Rahman akan menggugat masa depan etnik Melayu di Malaysia.Pada 10 Mei 1969, kerjaya politik beliau agak malap apabila kalah dalam pilihan raya umum. Ketika ini, secara terbuka beliau mengkritik keperibadian Tunku Abdul Rahman dan beberapa dasar yang menurutnya merugikan orang Melayu. Implikasi dari kritikan tersebut, keanggotaannya dalam UMNO telah dilucutkan selepas satu persedangan khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 22 September 1969.
Walau bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir masih meneruskan perjuangannya dalam arena politik dan beliau sempat menghasilkan buku The Malay Dilemma yang menyalurkan aspirasi beliau mengenai masalah etnik Melayu. Tetapi buku ini telah diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman. Ketika ini, karier politik beliau agak terumbang ambing. Beliau kembali merujuk keanggotaannya dalam UMNO pada tahun 1972 dan menjadi senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu di bawah tiket Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 1974 dan menang tanpa bertanding. Seterusnya beliau dilantik
 sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Kemudiannya beliau menjadi Naib Presiden UMNO pada Jun 1975. Pada 5 mac 1976 pula, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Hussien Onn dan pada 1 Januari 1978, beliau menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Di dalam UMNO beliau menjadi Naib Presiden UMNO yang ketiga dan telah menang jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding di dalam perhimpinan agung UMNO berikutnya. Setelah perletakan jawatan Tun Hussien Onn, beliau memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa sebarang pertandingan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981. Ketika secara rasmi menjadi Perdana Menteri, beliau telah membangkitkan harapan dan keyakinan terhadap seluruh rakyat bahawa Malaysia harus mengubah orientasinya untuk menghadapi dunia. 
Saya berpendapat bahawa, Tun Dr. Mahathir telah menyuntik benih perubahan terhadap rakyat Malaysia. Beliau telah membina landasan untuk negara mengambil tempat di kalangan negara-negara membangun. Beliau turut memikul tanggungjawab berat mengubah persepsi masyarakat agar kemajuan negara dapat dicapai.
Apa yang membuatkan saya menjadikan beliau sebagai idola ialah sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya rasa sangat beruntung kerana mempunyai negarawan, nasionalis yang hebat. Tetapi sayangnya, ramai anak muda iaitu generasi sekarang kurang mengetahui tentang tokoh negara ini. Apa yang saya harapkan agar generasi muda sekarang dan yang akan datang tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah merubah wajah Malaysia dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa.
Pelbagai projek gergasi telah dilaksanakan oleh beliau. Antara bukti yang dapat dilihat adalah pengeluaran kereta Proton melalui HICOM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, Jambatan Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas.Tun Dr. Mahathir digelar Bapa Pemodenan Malaysia, Bapa Perindustrian, Bapa IT dan pelbagai gelaran lagi. Tetapi tokoh ini tidak mahu namanya diabadikan pada mana-mana bangunan, jalan atau institut pengajian tinggi. Namun yang pasti, dari sudut linguistik, nama Tun Dr. Mahathir sudah tidak asing lagi di Malaysia. Ingatlah para pembaca sekalian, tanpa tokoh ini belum tentu kita berpeluang hidup di negara yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di kalangan negara-negara maju dunia. Terima kasih Tun Dr. Mahathir.




No comments:

Post a Comment