~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Sunday, 1 April 2012

_Selamat Hari Lahir Ummi_

Hari ini hari lahir ibunda saya. Saya panggil dia 'Ummi'. 1 APRIL 2012...Ummi sudah berumur 46 tahun hari ini. Selamat ulang tahun ummi. Sudah semakin berumur ummi tahun ini tetapi bagi kakak ummi tetap muda dan semakin cantik. Harap-harap tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang lagi gemilang. Kakak sayang sangat-sangat kat ummi. Tiada kata yang mampu diungkapkan selain memanjatkan doa kepada Allah semoga memanjangkan usia ummi, murahkan rezeki ummi dan memberkati diri ummi sentiasa. Terima kasih ummi kerana sentiasa memahami dan memberi sokongan tatkala diri kakak terlalu lemah untuk berdepan dengan ujian dan dugaan. Selamat hari lahir ummi...selamat hari lahir....(peluk-cium)



" Ya Allah, ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil " Amin...

Saturday, 24 March 2012

...Kecemerlangan Seseorang Mahasiswa di Universiti...

Dalam meniti usia remaja iaitu sebagai pelajar atau mahasiswa, seseorang itu harus ada wawasan diri bagi mencapai kecemerlangan. Kita perlu mempunyai prinsip yang kukuh dan tidak mudah goyah ditiup angin atau tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana anasir yang melalaikan.
 Apa itu kecemerlangan? Bagi seorang pelajar atau mahasiswa kita mungkin menjawab bahawa kecemerlangan adalah memperolehi keputusan yang baik di dalam peperiksaan. Kecemerlangan seseorang pelajar atau mahasiswa sering dikaitkan dengan keputusan yang dikira dari sudut bilangan A atau PMK yang diperolehi.  Apakah dengan keputusan itu sudah cukup untuk diri kita digelar cemerlang serta dapat menentukan masa depan yang cerah untuk kita? 
Sebenarnya, kecemerlangan seharusnya lahir dari dua sudut yang dilihat sebagai penting dan saling memerlukan. Pelajar yang cemerlang akademik tetapi buruk sahsiahnya mereka ini akan mendatangkan kesusahan kepada majikan kita kerana tidak  mempunyai sikap yang betul terhadap pekerjaan bahkan mungkin keluarga kita. Tetapi sebaliknya jika pelajar tersebut cemerlang dari sudut akademik dan sahsiahnya sudah pasti bukan sahaja mampu bekerja dengan baik bahkan mempunyai sikap yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani serta inteleknya.
Kecemerlangan ialah kebolehan dan kemampuan diri menggabung dan menggunakan keseluruhan potensi yang dianugerahkan Allah kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu ke jalan yang diredhai Allah. Ianya meliputi memperseimbang dan mempergiatkan pelbagai kecerdasan yang ada pada diri individu ke arah penjanaan minda yang kritis dan kreatif. Ianya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan individu dan masyarakat umum sepanjang hayat. kecemerlangan dalam erti kata yang sepenuhnya adalah lebih luas. Ianya adalah melibatkan satu bentuk proses yang berterusan dan ini bermakna kecemerlangan itu adalah sesuatu yang berterusan dan tidak pernah berakhir.
Kecemerlangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kecemerlangan di dunia dan kecemerlangan di akhirat. Kecemerlangan di dunia adalah petunjuk kecemerlangan di akhirat. Imam Al Ghazali di dalam karya agungnya Ihya Ilumiddin mengatakan bahawa ciri-ciri kebahagiaan di akhirat yang tidak ada di dunia boleh dibahagikan kepada empat iaitu kekal abadi, kebahagian berkekalan, tidak wujud lagi kejahilan dan tidak wujud lagi kemiskinan. Jika tempoh masa hidup di dunia ini tidak diisi dengan sebaik-baiknya, maka kekesalan dan kekecewaan akan menimpa kita di akhirat. Kecemerlangan hakiki adalah apabila seseorang itu dapat memasuki syurga dan terselamat dari seksaan api neraka di akhirat nanti. 
Walau bagaimanapun, Islam juga memandang kecemerlangan di dunia sebagai penting. Kecemerlangan di dunia menjadi bermakna apabila ianya dijadikan landasan untuk mencapai kecemerlangan di akhirat. Piawaian untuk memasuki syurga milik Allah mestilah menepati acuan yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan wahyuNya melalui al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan acuan ini sahaja yang dapat menjadikan manusia cemerlang di dunia dan di akhirat.
Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di Universiti.  

Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap kejayaan seseorang pelajar didalam bidang akademik di Universiti. Kunci kejayaan bagi seorang mahasiswa rabbani ada tiga. Integrasi ketiga-tiga formula kecemerlangan ini insyaAllah akan menumbuhkan seorang mahasiswa yang seimbang kecemerlangannya di dunia dan di akhirat. Pertama sebagai mahasiswa kita perlu memiliki keimanan yang mendalam terhadap Deen yang satu-satunya diredhai Allah SWT. Iman menjadi pemancar, penggerak dan pencetus kegigihan kita untuk belajar dan berdakwah. 
Mahasiswa yang beriman tidak ada masa untuk membuang masa. Mahasiswa yang cemerlang tidak ada masa melakukan perbuatan dan berbincang perkara-perkara yang sia-sia dan yang tidak berguna. Allah SWT telah memaklumkan kepada kita faktor yang menyebabkan kita tidak cemerlang adalah kerana kita sering terjebak dengan dua perkara di atas, melakukan perbuatan dan percakapan yang sia-sia, sehinggakan masa kita banyak berlalu dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan tidak berguna. 
Kedua, sebagai mahasiswa kita perlu bijak mengurus diri dengan efektif. Salah satu faktor besar yang sering menyebabkan mahasiswa tidak cemerlang, samada mahasiswa biasa-biasa mahupun mahasiswa yang bersemangat dengan kerja dakwah dan tarbiyah adalah pengabaian dalam pengurusan diri yang baik. Ketiga, sebagai mahasiswa kita perlu usaha dan berjihad secara berterusan. ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’. Itulah antara pepatah melayu yang boleh kita jadikan ikhtibar dalam kehidupan.
Tugas sebagai seorang mahasiswa amat besar, mempersiapkan dirinya dengan penguasaan ilmu, kemahiran keinsanan dan kepimpinan, menghimpun sebanyak mungkin bekalan dakwah dan konsistensi dengan tarbiyah islamiyyah. Di sepanjang perjalanan untuk mencapai perkara tersebut, kita akan bertemu dengan palbagai ujian. 
Kesimpulannya, Mari kita bertanya pada diri kita sendiri. Bagaimana insan-insan yang hebat menjadi sangat produktif? Bagaimana mereka sentiasa tenang dan stabil sehingga memahami dengan tepat di mana mereka harus meletakkan langkah-langkah kaki mereka? Bagaimana mereka mengurus masa mereka dalam pelbagai situasi realiti kehidupan? Bagaimana mereka melihat pelbagai situasi dari pelbagai sudut pandang? Bagaimana mereka menyelesaikan masalah dan bagaimana mereka meletakkan keutamaan dalam mengurus aktiviti kehidupan, apa yang harus dilaksanakan pada hari ini dan apa yang harus di tunda hingga hari esok. 
Bagaimana mereka mengurus kehidupan agar tidak sentiasa bergolak dan cacamarba, menghadapi perkara-perkara yang tidak di duga dan halangan-halangan di sepanjang perjalanan? Juga bagaimana mereka ini memberi pengaruh kepada orang lain dan memberi teladan yang baik di mana pun berada? Tepuk dada, tanya hati dan berfikirlah.
 Marilah kita sebagai pelajar mahupun mahasiswa berusaha, berdoa, bertawakal dan mintalah kepada Allah SWT, jangan mengeluh. Allah itu maha kaya, kita memerlukan kasih dan simpatNya. Maka ibadah kitalah menjadi penghubung kita denganNya agar kita mampu meraih pahala dan redha Allah serta mampu pula meraih syurga dan selamat dari api neraka.
 Belajarlah dengan ikhlas dan keranaNya, cemerlanglah keranaNya bukan kerana tuntutan Universiti, anugerah dekan, kerjaya terbilang dan tiket untuk menghimpun kekayaan , sebaliknya belajarlah kerana mencari redha dan syurga Allah SWT, insyaAllah kejayaan lain akan menyusuri, yakinlah!

 



"Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan." 

"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya." 


Thursday, 22 March 2012

...Sajak buat Ummi Tercinta...



Ummi...
kau memberikan seluruh hidupmu...
Memberikan banyak cintamu...
Memberikan semangat untukku...
Memberikan waktumu untukku...
Menjadi tempat mengaduku...
Kau adalah wanita mulia yang sangat aku cintai...

Ummi...
Hanya kau yang sanggup berkorban untukku...
Hanya air matamu yang mengalir untukku...
Hanya ada pelukan serta urutan tanganmu ketika aku menangis...
Hanya ada senyummu ketika aku bersedih...
Hanya ada tawamu ketika aku senang...

Umi...
Hanya kau di hatiku...
Dirimu tiada pengganti...
Seandainya aku bisa menghapus air matamu...
Seandainya umi tahu aku juga merasakan pedihnya hatimu...
Seandainya aku bisa menggantikan kesedihan ummi dengan tawaku...
Seandainya aku bisa memberikan nyawa ini walau hanya separuh dari nyawaku seperti yang kau lakukan ketika melahirkanku...
Seandainya aku bisa menjadi tempat mengadumu seperti aku yang bisa mengadu padamu...
Aku hanya ingin menyapu air matamu wahai ummi....
Aku juga ingin merasakan perih dan pedih yang ummi rasai...

Umi...
Sejuta cintaku...
Sejuta kasihku...
Sejuta rinduku...
Sejuta perhatianku...
Dan sejuta sujudku di telapak kakimu....
Kerana di situ terletaknya syurgaku...

Ya Allah...
Kau ampunilah dosa ummiku...
Panjangkanlah usianya...
Kurniakanlah kesihatan yang baik untuknya...
Supaya dapat menatap wajah-wajah kebahagian anak menantu dan bakal cucu cicitnya...
Hanya engkau yang bisa...
Kerana aku tahu...
Hanya engkau tempat mengadu ummi....


Ummi...
Terima kasih atas segala pengorbanan ummi...
Tidak terbalas segala jasamu...
Ummi...
Aku ingin kau tahu bahawa aku mencintaimu dengan sepenuh hati dan jiwaku...
Hanya untuk ummi seorang...
Anak gadismu yang telah beranjak menuju dewasa ini...
Walau jauh darimu, namun tetap sentiasa merinduimu...





Wednesday, 21 March 2012

...Sajak buat Kekasih...


Pernah ketika dulu...
Kamu hadir, memecahkan sepi malamku...
Pernah ketika dulu...
Kamu hadir, menemani di saat aku bergelut menembusi kabus malamku...
Pernah ketika dulu...
Kamu singgah sebentar di hatiku...

Tapi, maafkan aku wahai sayang...
Antara aku dan kamu, cukuplah sampai di sini...
Aku tahu, kamu lelaki hebat...
Aku tahu, kamu lelaki tegar...
Aku tahu, kamu lelaki baik...
Lupakan aku...
Pergi dariku...
Kerana,
Hati ini tak mampu untuk kamu...

Kini, aku sedar...
Aku tidak bisa hidup tanpa kamu...
Aku perlu kamu...
Aku cinta kamu...
Tersenyum...suka...sayang...kasih....rindu...?
Ya! Kamu wahai kekasih...
Kamu yang terukir di hatiku kini...
Kamu yang tercipta untukku kini...
Saat kamu pergi...
Saat itulah aku benar-benar derita...
Saat kamu hadir kembali...
Saat itulah aku kembali ceria...

Terima kasih cinta...
Untuk segalanya..
Kamu berikan lagi kesempatan itu buat aku...
Aku berjanji...
Tak akan terulang lagi...
Semua kesalahanku yang pernah menyakitimu... 
Terima kasih kerana mencintaiku setulusnya...












Monday, 19 March 2012

...Makna Persahabatan...

Apakah sebenarnya erti persahabatan itu? Adakah persahabatan itu cukup dengan hanya mengenali dan menjadikan seseorang itu sebagai tempat untuk ketawa berkongsi masalah dan bergurau senda? Apa pula perbezaan antara sahabat dan kawan? Bagi saya, sahabat dan kawan mempunyai makna yang tersendiri. 
Menurut saya yang membezakannya adalah kekuatan dalam perhubungan. Sahabat  bagi saya adalah seseorang yang boleh memahami diri kita disetiap  situasi dan tidak hanya muncul di saat sahabatnya gembira, tetapi tetap ada di sisi walau apa yang terjadi pada sahabatnya. Dia berperanan lebih istimewa berbanding kawan.
 Manakala kawan pula  adalah seorang yang akan datang dan pergi dalam hidup seseorang. Kawan akan muncul di sisi ketika kita gembira atau ketawa kegembiraan tetapi bila kita sedih dan terluka, kawan datang bertanya khabar sahaja kemudian selepas itu berlari meninggalkan kita bersendirian atau berseorangan.
Dalam dunia ini selain ibu bapa atau keluarga, orang yang paling rapat dan mampu memahami kita adalah seorang yang bergelar sahabat. Menurut Imam Ghazali, persahabatan itu harus dilandaskan dengan jiwa yang bersih. Malah, Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa " Tidak sempurna iman kamu jika kamu tidak mengasihi kawan lebih daripada kamu mengasihi diri sendiri ". Begitulah besarnya pengertian persahabatan dalam islam bersandarkan konsep persaudaraan. 
Persahabatan tidak terjalin secara automatik tetapi memerlukan satu proses yang panjang seperti besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak, namun semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian. 
Selain itu sahabat juga menjadi tempat kita berkongsi dan menceritakan permasalahan hidup dan sahabat juga menjadi penasihat dan pembimbing kita di kala kita kesempitan. Namun sahabat juga terkadang boleh menjadi racun dalam kehidupan kita jika kita salah memilih. Sahabat boleh menjadi musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam lipatan, talam dua muka dan tikam kita dari belakang. Jadi kita haruslah bijak dalam memilih sahabat.
 Sahabat merupakan sebahagian daripada warna kehidupan kita. Sahabat itu tidak mengenal usia, jantina , agama, kaum, pangkat, darjat, rupa paras mahupun harta. Sahabat yang baik merupakan pendengar dan penasihat yang baik iaitu sentiasa di sisi kita di kala susah mahupun senang. 
Jangan sesekali menilai sahabat kita hanya dari segi luaran semata-mata kerana sahabat  kita itu memiliki kelemahan dan kelebihan yang tersendiri. Tak kenal maka tak cinta.Tidak semua sahabat kita adalah sama sifatnya dengan sahabat kita yang lain. Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kita harus memiliki seluruh ruang hidupnya. 
Jadilah sahabat yang mampu menyeru kepada kebaikan, agar sahabat-sahabat kita turut menyeru kepada kebaikan.Proses dari teman menjadi sahabat memerlukan usaha, pemeliharaan dan kesetiaan tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita memiliki motivasi untuk mencari perhatian, pertolongan dan penyataan kasih dari orang lain, tetapi berinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh seorang sahabat. 
Ramai yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya. Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. 
Persahabatan itu bermula daripada satu bentuk perkenalan. Daripada satu perkenalan yang mudah menjadi erat apabila adanya pertanyaan, saling bertanya saling mahu kenal mengenal. Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun kadang-kadang terpaksa memberikan seribu pengorbanan serta berjuta-juta perjuangan, ia tetap pergi kepada yang satu iaitu keikhlasan. 
Begitu besarnya pengertian sahabat menurut islam. Semua umat islam adalah bersaudara. Sudah sewajarnya kita saling sayang menyayangi, hormat menghormati dan bantu membantu dan dalam erti kata lain, memenuhi hak-hak sebagai seorang sahabat . Pilihlah sahabat yang dapat membawa kita kepada kebaikan. 

RENUNGILAH... 
TOLONG HARGAI KEHADIRAN MEREKA DI SISI...
Apa yang penting apabila kita berkawan atau bersahabat kita harus ikhlas dan jujur dalam perhubungan. Jangan hanya mengharap kawan atau sahabat sahaja yang jujur dan ikhlas tetapi kita juga harus ikhlas ... HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DI SEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA...











...Kepentingan Ilmu...

Ilmu umpama pelita dan cahaya hidup yang sentiasa menerangi manusia kerana tanpa ilmu gelaplah hidup seseorang itu. Cuba kita bayangkan apabila waktu malam tidak bertukar siang? Mungkin bagi orang yang cacat seperti orang buta sudah biasa dengan keadaan ini tetapi bagi golongan yang normal, adalah satu yang agak sukar untuk kita meneruskan kehidupan dalam kegelapan yang berterusan. Begitu juga dengan ilmu. Islam terbina di atas dasar ilmu. Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah ialah perintah membaca dan ia merupakan menifestasi terhadap penerokaan ilmu.
 Islam merupakan agama yang sangat mementingkan ilmu kerana ilmu pengetahuan merupakan ibadah dan kunci kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Islam juga menekankan tentang pentingnya konsep menuntut ilmu dan perlaksanaannya. 
Setiap umat islam seharusnya menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain, fardu kifayah dan ilmu-ilmu semasa. Di mana-mana ada ilmu. Bila-bila saja boleh belajar. Tidak terhad, tertutup pada angka umur, masa atau pun tempat. Seseorang itu boleh menuntut ilmu di mana sahaja tanpa mengira tempat serta masa. terdapat banyak cabang untuk menuntut ilmu antaranya ilmu agama, ilmu psikologi, ilmu sains, ilmu bahasa dan pelbagai lagi. 
Memiliki ilmu pengetahuan dapat meningkatkan darjat seseorang. Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur. Rasulullah juga pernah berkata bahawa tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ini membuktikan bahawa penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. 
Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana. Dengan adanya ilmu, kita kita tidak akan berasa ketinggalan, di perbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya. Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Contohilah Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali terus menghafal semua pelajaran. Jadilah kita semua seperti beliau ahli ilmu yang agung. Ini kerana ilmu itu universal. 
Antara manfaat dan kepentingan sekiranya kita berilmu kita dapat memajukan diri sendiri, dan tidak mustahil kita boleh memberi faedah kepada komuniti, masyarakat dan juga negara. Selain itu, penguasaan ilmu juga membolehkan kita menjadi manusia yang proaktif. Orang yang berilmu akan sentiasa berfikiran positif, optimis dan sentiasa menjadikan sesuatu ujian atau permasalahan sebagai suatu cabaran yang menarik. Tidak kira usia, pangkat, jantina serta kedudukan yang ada, menuntut ilmu adalah penting untuk diri individu itu sendiri. Ada yang sudah berumur, tetapi masih mahu meneruskan pengajian di peringkat tinggi kerana golongan seperti ini sudah lama menyedari akan kepentingan menuntut ilmu. Ilmu juga boleh diperolehi melalui pengalaman seseorang sama ada pengalaman dalam melalui liku-liku kehidupan ataupun pengalaman bekerja. 
Jadilah seperti padi semakin tunduk semakin berisi yang mana tinggi ilmunya dan tinggi juga budi pekertinya tetapi jangan pula sombong kerana tinggi ilmunya. Tidak bermakna mempunyai ilmu yang tinggi tetapi sombong diri. Jadilah manusia yang rendah diri dan dihormati disamping mempunyai akal yang dipenuhi dengan ilmu pengetahuan. Jika seseorang itu menuntut ilmu yang baik disisi agama, maka Allah swt akan memberikan ganjaran kepada orang tersebut. Ilmu itu penggerak utama seseorang untuk meneruskan kehidupan. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. 
Jadi, ayuh! Jangan buang masa dengan kelalaian, manfaatkan masa yang ada untuk kita menimba ilmu.Tidak kira apa sahaja ilmu, asalkan ia baik untuk diri, tidak menyalahi undang- undang, tidak melanggar larangan Allah, ia perlu dipelajari. Mudah-mudahan dengan ilmu yang ada, menjadikan kita selangkah di hadapan berbanding yang lain yang mana dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan individu lain.