~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Saturday 24 March 2012

...Kecemerlangan Seseorang Mahasiswa di Universiti...

Dalam meniti usia remaja iaitu sebagai pelajar atau mahasiswa, seseorang itu harus ada wawasan diri bagi mencapai kecemerlangan. Kita perlu mempunyai prinsip yang kukuh dan tidak mudah goyah ditiup angin atau tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana anasir yang melalaikan.
 Apa itu kecemerlangan? Bagi seorang pelajar atau mahasiswa kita mungkin menjawab bahawa kecemerlangan adalah memperolehi keputusan yang baik di dalam peperiksaan. Kecemerlangan seseorang pelajar atau mahasiswa sering dikaitkan dengan keputusan yang dikira dari sudut bilangan A atau PMK yang diperolehi.  Apakah dengan keputusan itu sudah cukup untuk diri kita digelar cemerlang serta dapat menentukan masa depan yang cerah untuk kita? 
Sebenarnya, kecemerlangan seharusnya lahir dari dua sudut yang dilihat sebagai penting dan saling memerlukan. Pelajar yang cemerlang akademik tetapi buruk sahsiahnya mereka ini akan mendatangkan kesusahan kepada majikan kita kerana tidak  mempunyai sikap yang betul terhadap pekerjaan bahkan mungkin keluarga kita. Tetapi sebaliknya jika pelajar tersebut cemerlang dari sudut akademik dan sahsiahnya sudah pasti bukan sahaja mampu bekerja dengan baik bahkan mempunyai sikap yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani serta inteleknya.
Kecemerlangan ialah kebolehan dan kemampuan diri menggabung dan menggunakan keseluruhan potensi yang dianugerahkan Allah kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu ke jalan yang diredhai Allah. Ianya meliputi memperseimbang dan mempergiatkan pelbagai kecerdasan yang ada pada diri individu ke arah penjanaan minda yang kritis dan kreatif. Ianya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan individu dan masyarakat umum sepanjang hayatkecemerlangan dalam erti kata yang sepenuhnya adalah lebih luas. Ianya adalah melibatkan satu bentuk proses yang berterusan dan ini bermakna kecemerlangan itu adalah sesuatu yang berterusan dan tidak pernah berakhir.
Kecemerlangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kecemerlangan di dunia dan kecemerlangan di akhirat. Kecemerlangan di dunia adalah petunjuk kecemerlangan di akhirat. Imam Al Ghazali di dalam karya agungnya Ihya Ilumiddin mengatakan bahawa ciri-ciri kebahagiaan di akhirat yang tidak ada di dunia boleh dibahagikan kepada empat iaitu kekal abadi, kebahagian berkekalan, tidak wujud lagi kejahilan dan tidak wujud lagi kemiskinan. Jika tempoh masa hidup di dunia ini tidak diisi dengan sebaik-baiknya, maka kekesalan dan kekecewaan akan menimpa kita di akhirat. Kecemerlangan hakiki adalah apabila seseorang itu dapat memasuki syurga dan terselamat dari seksaan api neraka di akhirat nanti. 
Walau bagaimanapun, Islam juga memandang kecemerlangan di dunia sebagai penting. Kecemerlangan di dunia menjadi bermakna apabila ianya dijadikan landasan untuk mencapai kecemerlangan di akhirat. Piawaian untuk memasuki syurga milik Allah mestilah menepati acuan yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan wahyuNya melalui al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan acuan ini sahaja yang dapat menjadikan manusia cemerlang di dunia dan di akhirat.
Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di Universiti.  

Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap kejayaan seseorang pelajar didalam bidang akademik di Universiti. Kunci kejayaan bagi seorang mahasiswa rabbani ada tiga. Integrasi ketiga-tiga formula kecemerlangan ini insyaAllah akan menumbuhkan seorang mahasiswa yang seimbang kecemerlangannya di dunia dan di akhirat. Pertama sebagai mahasiswa kita perlu memiliki keimanan yang mendalam terhadap Deen yang satu-satunya diredhai Allah SWT. Iman menjadi pemancar, penggerak dan pencetus kegigihan kita untuk belajar dan berdakwah. 
Mahasiswa yang beriman tidak ada masa untuk membuang masa. Mahasiswa yang cemerlang tidak ada masa melakukan perbuatan dan berbincang perkara-perkara yang sia-sia dan yang tidak berguna. Allah SWT telah memaklumkan kepada kita faktor yang menyebabkan kita tidak cemerlang adalah kerana kita sering terjebak dengan dua perkara di atas, melakukan perbuatan dan percakapan yang sia-sia, sehinggakan masa kita banyak berlalu dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan tidak berguna. 
Kedua, sebagai mahasiswa kita perlu bijak mengurus diri dengan efektif. Salah satu faktor besar yang sering menyebabkan mahasiswa tidak cemerlang, samada mahasiswa biasa-biasa mahupun mahasiswa yang bersemangat dengan kerja dakwah dan tarbiyah adalah pengabaian dalam pengurusan diri yang baik. Ketiga, sebagai mahasiswa kita perlu usaha dan berjihad secara berterusan. ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’. Itulah antara pepatah melayu yang boleh kita jadikan ikhtibar dalam kehidupan.
Tugas sebagai seorang mahasiswa amat besar, mempersiapkan dirinya dengan penguasaan ilmu, kemahiran keinsanan dan kepimpinan, menghimpun sebanyak mungkin bekalan dakwah dan konsistensi dengan tarbiyah islamiyyah. Di sepanjang perjalanan untuk mencapai perkara tersebut, kita akan bertemu dengan palbagai ujian. 
Kesimpulannya, Mari kita bertanya pada diri kita sendiri. Bagaimana insan-insan yang hebat menjadi sangat produktif? Bagaimana mereka sentiasa tenang dan stabil sehingga memahami dengan tepat di mana mereka harus meletakkan langkah-langkah kaki mereka? Bagaimana mereka mengurus masa mereka dalam pelbagai situasi realiti kehidupan? Bagaimana mereka melihat pelbagai situasi dari pelbagai sudut pandang? Bagaimana mereka menyelesaikan masalah dan bagaimana mereka meletakkan keutamaan dalam mengurus aktiviti kehidupan, apa yang harus dilaksanakan pada hari ini dan apa yang harus di tunda hingga hari esok. 
Bagaimana mereka mengurus kehidupan agar tidak sentiasa bergolak dan cacamarba, menghadapi perkara-perkara yang tidak di duga dan halangan-halangan di sepanjang perjalanan? Juga bagaimana mereka ini memberi pengaruh kepada orang lain dan memberi teladan yang baik di mana pun berada? Tepuk dada, tanya hati dan berfikirlah.
 Marilah kita sebagai pelajar mahupun mahasiswa berusaha, berdoa, bertawakal dan mintalah kepada Allah SWT, jangan mengeluh. Allah itu maha kaya, kita memerlukan kasih dan simpatNya. Maka ibadah kitalah menjadi penghubung kita denganNya agar kita mampu meraih pahala dan redha Allah serta mampu pula meraih syurga dan selamat dari api neraka.
 Belajarlah dengan ikhlas dan keranaNya, cemerlanglah keranaNya bukan kerana tuntutan Universiti, anugerah dekan, kerjaya terbilang dan tiket untuk menghimpun kekayaan , sebaliknya belajarlah kerana mencari redha dan syurga Allah SWT, insyaAllah kejayaan lain akan menyusuri, yakinlah!

 



"Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan." 

"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya." 


No comments:

Post a Comment