~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Monday 19 March 2012

...Kepentingan Ilmu...

Ilmu umpama pelita dan cahaya hidup yang sentiasa menerangi manusia kerana tanpa ilmu gelaplah hidup seseorang itu. Cuba kita bayangkan apabila waktu malam tidak bertukar siang? Mungkin bagi orang yang cacat seperti orang buta sudah biasa dengan keadaan ini tetapi bagi golongan yang normal, adalah satu yang agak sukar untuk kita meneruskan kehidupan dalam kegelapan yang berterusan. Begitu juga dengan ilmu. Islam terbina di atas dasar ilmu. Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah ialah perintah membaca dan ia merupakan menifestasi terhadap penerokaan ilmu.
 Islam merupakan agama yang sangat mementingkan ilmu kerana ilmu pengetahuan merupakan ibadah dan kunci kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Islam juga menekankan tentang pentingnya konsep menuntut ilmu dan perlaksanaannya. 
Setiap umat islam seharusnya menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain, fardu kifayah dan ilmu-ilmu semasa. Di mana-mana ada ilmu. Bila-bila saja boleh belajar. Tidak terhad, tertutup pada angka umur, masa atau pun tempat. Seseorang itu boleh menuntut ilmu di mana sahaja tanpa mengira tempat serta masa. terdapat banyak cabang untuk menuntut ilmu antaranya ilmu agama, ilmu psikologi, ilmu sains, ilmu bahasa dan pelbagai lagi. 
Memiliki ilmu pengetahuan dapat meningkatkan darjat seseorang. Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur. Rasulullah juga pernah berkata bahawa tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ini membuktikan bahawa penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. 
Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana. Dengan adanya ilmu, kita kita tidak akan berasa ketinggalan, di perbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya. Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Contohilah Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali terus menghafal semua pelajaran. Jadilah kita semua seperti beliau ahli ilmu yang agung. Ini kerana ilmu itu universal. 
Antara manfaat dan kepentingan sekiranya kita berilmu kita dapat memajukan diri sendiri, dan tidak mustahil kita boleh memberi faedah kepada komuniti, masyarakat dan juga negara. Selain itu, penguasaan ilmu juga membolehkan kita menjadi manusia yang proaktif. Orang yang berilmu akan sentiasa berfikiran positif, optimis dan sentiasa menjadikan sesuatu ujian atau permasalahan sebagai suatu cabaran yang menarik. Tidak kira usia, pangkat, jantina serta kedudukan yang ada, menuntut ilmu adalah penting untuk diri individu itu sendiri. Ada yang sudah berumur, tetapi masih mahu meneruskan pengajian di peringkat tinggi kerana golongan seperti ini sudah lama menyedari akan kepentingan menuntut ilmu. Ilmu juga boleh diperolehi melalui pengalaman seseorang sama ada pengalaman dalam melalui liku-liku kehidupan ataupun pengalaman bekerja. 
Jadilah seperti padi semakin tunduk semakin berisi yang mana tinggi ilmunya dan tinggi juga budi pekertinya tetapi jangan pula sombong kerana tinggi ilmunya. Tidak bermakna mempunyai ilmu yang tinggi tetapi sombong diri. Jadilah manusia yang rendah diri dan dihormati disamping mempunyai akal yang dipenuhi dengan ilmu pengetahuan. Jika seseorang itu menuntut ilmu yang baik disisi agama, maka Allah swt akan memberikan ganjaran kepada orang tersebut. Ilmu itu penggerak utama seseorang untuk meneruskan kehidupan. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. 
Jadi, ayuh! Jangan buang masa dengan kelalaian, manfaatkan masa yang ada untuk kita menimba ilmu.Tidak kira apa sahaja ilmu, asalkan ia baik untuk diri, tidak menyalahi undang- undang, tidak melanggar larangan Allah, ia perlu dipelajari. Mudah-mudahan dengan ilmu yang ada, menjadikan kita selangkah di hadapan berbanding yang lain yang mana dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan individu lain.



No comments:

Post a Comment