~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Friday 15 June 2012

...Memori Tercipta di Universiti Utara Malaysia...

Genap sudah 3 tahun aku study...
Tinggal beberapa hari jerk lagi aku di UUM...
maybe tak sampai sehari kot...
Then, semua orang akan berpecah.....
Latihan Ilmiah di tempat masing-masing.....
Kalau umur panjang, rezeki ada, insyaallah, berkonvolah kita tahun 2013 nanti....
tetiba rasa sayu & sedih giler....
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan....
harap perkenalan ini, akan kekal hingga ke akhir hayat....

AKAN SELALU MERINDUI:

~Bib~
(ROOMATE)
~Atilia~  
~Suraya~
~Indah~
~Sabariah~
~Adila~
~Nadia~
~Reenda~
~Yaya~
&

Semua shbt yang aku kenali di UUM ni...
tidak kira kawan atau lawan...
Korang mencorakkan hidup aku disini.....

Lagu ni khas ditujukan utuk korang sume.
JOM NYANYI SAME2...


MEMORI TERCIPTA

Bergetar jiwa dipersada bercahaya
Pertemuan harapan pertama kalinya
Bergetar jiwa menghadapi mimpi-mimpi
Sukar dipercaya pintunya terbuka

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin disini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada ku lupa

Mengalun suara sesuri bisikan hati
Seiringan mencari haluan berseni
Bergetar jiwa menghadapi mimpi-mimpi
Tiada pun terduga pintunya terbuka

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada ku lupa

Yang terpahit jua termanis
Semuanya bagiku terindah
Kuingati buat selama-lamanya

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada ku lupa

Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama (3x)
Mungkin disini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada ku lupa








Gratisan Musik

Monday 11 June 2012

...Sajak: Cantik Itu...



Cantik itu...
Bukan Memiliki Mata Yang Indah, Melainkan Ia Yang Selalu Menjaga Pandangan Matanya...

Cantik Itu ..
Bukan Memiliki Senyum Yang Menawan, Melainkan Ia Selalu Tersenyum Kerana Ibadah...

Cantik Itu ..
Bukan Memiliki Bibir Terindah, Melainkan Ia Yang Memiliki Bibir Untuk Selalu Berzikir...

Cantik Itu ..
Bukan Kerana Ia Selalu Menggunakan Make Up Yang Mahal Di Wajahnya, Melainkan Ia Yang Selalu Membasuh Wajahnya Dengan Air Wudhu.

Cantik Itu..
Bukan Memiliki Tubuh Yang Indah, Melainkan Ia Yang Selalu Menghijab Tubuhnya Dengan Pakaian-Pakaian Santun...

Cantik Itu ..
Bukan Kerana ia Selalu Menolong, Melainkan Yang memiliki ketulusan Setiap ia Menolong...

Cantik Itu ..
Ada Pada Hatimu Yang Tercantik..

Kerana Kecantikan Hatimu Akan Memancarkan Cahaya Di Wajahmu ...
Jadikanlah Hatimu Lebih Cantik Dari Wajah Mu...



...Kecantikan Itu Terbit dari Hati...


Tahukah anda kecantikan itu bagaimana? Mungkin dari pandangan anda kecantikan hanya terbatas pada luaran sahaja iaitu yang cantik adalah yang berkulit putih, tinggi, hidung mancung, bibir merah dan sebagainya. Perkataan cantik telah disalah erti sedemikian rupa, sehingga menukarkan hakikat cantik yang sebenarnya. Sebenarnya, kecantikan luar biasa yang ada dalam diri seorang  adalah kecantikan hati kerana kecantikan itu terbitnya dari hati.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat luaran kalian dan rupa kalian akan tetapi Allah melihat hati  kalian” – (HR.Muslim)

Seseorang yang berjaya dalam hidup ialah seseorang  yang walaupun rupa parasnya tidak cantik tetapi keperibadiannya amat menyenangkan. Bukan semata-mata fokus kepada luaran sahaja tetapi lebih fokus kepada ‘recovery’ iaitu iman yang nampak jelas dalam sikap dan prinsip hidup yang mana kukuh dan tidak goyah.
Kita sebagai makhluk, seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah tanpa meminta lebih lagi. Redha dengan bentuk tubuh dan wajah yang dianugerahkan Allah kerana inilah bentuk terbaik menurut-Nya. Andai kita bisa memilih untuk memiliki wajah dan keperibadian yang cantik itu memang lebih baik, tetapi tidak semua makhluk dianugerahkan  seperti itu. Itulah maha keadilan Allah, ada kelebihan dan kekurangan dalam diri setiap makhluk.
Tidak menghairankan, betapa cantik dan menarik fizikal seorang, maka ia akan terlihat sangat jijik dan hina apabila dirinya dikuasai amarah atau nafsu untuk menyakiti orang lain. Maka binalah sikap dan cara berfikiran positif. Aura kecantikan anda semakin bersinar terang dan diri anda terlihat jauh lebih muda dan segar apabila anda selalu berfikiran positif. Selain itu, Cinta dan kasih sayang yang tulus dari dalam hati menjadikan seluruh aspek di dalam diri anda terlihat istimewa. Cinta dan kasih sayang akan memancarkan aura kecantikan anda yang luar biasa. Semakin banyak cinta yang dipancarkan tanpa syarat, maka semakin tinggi aura kecantikan yang dimiliki. Satu perkara  yang paling penting untuk difahami bahawa kecantikan itu terpancar dari dalam hati yang damai. Aura kecantikan tidak dapat timbul dari dalam jiwa yang kosong dan hampa. Hati yang damai juga tidak dapat digantikan dengan kekayaan, kecantikan tubuh atau wajah, pangkat, darjat dan sebagainya.
Pada dasarnya, penampilan memang penting supaya seorang itu terlihat rapi, cantik dan menarik. Tetapi hati itu ternyata jauh lebih penting, kerana kecantikan yang berasal dari kemurnian hati dan jiwa lebih mudah menjadi pusat kekaguman ramai makhluk. Pesanan saya, jagalah diri dan kecantikan hati atau keluhuran budi pekerti betapapun cantiknya Anda kerana kecantikan yang sejati bukanlah cantiknya wajah tetapi apa yang ada di dalam hati. Maka percantiklah hatimu agar dicintai dan dirindukan semua orang.

...Penggunaan Aspek Visual dalam Penulisan: Warna...

Penggunaan aspek visual adalah satu bentuk yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti dalam penulisan blog, lukisan, fotografi, grafik dan filem. Visual berhubungan erat dengan mata atau penglihatan. Dengan kata lain visual adalah sesuatu hasil atau ciptaan yang boleh dinampak melalui penglihatan mata. Hasil atau karya itu adalah bersumberkan daya fikiran dan kesenian yang mutlak dalam minda seseorang dan seterusnya diterjemahkan kepada objek yang nyata serta boleh dilihat seperti gambar, arca, model dan sebagainya. Penggunaan visual  merupakan salah satu teknik kreatif dan efektif untuk menjelaskan suatu pengertian bahkan jika digunakan secara tepat dan bijaksana, nilai-nilai visual menjadi amat tinggi dalam suatu penulisan atau karya ilmiah. Oleh kerana itu,  dalam penggunaan visual, pokok fikiran penulis harus tampak menonjol dan mudah difahami seketika, serta menarik perhatian pembaca. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa  tampilan visual  merupakan bahasa tersendiri dalam penulisan atau karya ilmiah. Penggunaan aspek visual dalam penulisan adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi. Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui Internet supaya mereka diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi.
Penulisan melambangkan identiti seseorang itu. Contohnya penggunaan  aspek visual dalam penulisan blog yang mana setiap penulis mempunyai teknik penulisannya tersendiri. Pelbagai cara penulis menulis, tetapi tahukah kita cara kita disenangi pembaca ataupun tidak? Penting ke pembaca selesa semasa membaca karya kita? Sebenarnya ianya sangat penting kerana apabila mata pembaca dah serabut dan tidak selesa, pembaca susah untuk menghabiskan bacaan sesuatu entri itu sampai ke noktah akhirnya. Terdapat beberapa elemen utama yang perlu dipertimbangkan melalui penggunaan visual dalam penulisan ini. Contohnya dalam penulisan blog iaitu dari aspek gambar, susun letak atau komposisi halaman, bentuk, keseimbangan, gaya, skema warna dan tarikan warna merupakan elemen-elemen yang penting. Di sini tumpuan terhadap elemen warna akan diterangkan dengan lebih lanjut dengan penggunaan aspek visual dalam penulisan blog. Warna amat penting dalam kehidupan kita memandangkan ia sentiasa mempengaruhi kita dalam kehidupan seharian, kanak-kanak dan wanita juga amat meminati warna pada setiap miliknya. Oleh itu adalah penting untuk kita mendalami lebih lagi tentang pengertian warna itu sendiri.
Pengertian warna dari segi bahasa adalah spektrum tertentu yang terdapat di dalam suatu cahaya sempurna yang berwarna putih. Identiti suatu warna ditentukan oleh sifat cahaya yang ditentukan oleh panjang gelombang atau oleh kandungannya sebagai panduan untuk beberapa panjang gelombang. Julat panjang gelombang nampak untuk cahaya dikenali sebagai spektrum nampak atau dengan mudah sahaja sebagai spektrum. Istilah warna boleh juga merujuk kepada sifat objek-objek atau bahan-bahan yang ditentukan oleh jenis panjang gelombang yang dipantul, dihantar, atau dipancar. Biasanya, hanya ciri-ciri kandungan cahaya yang dapat dikesan oleh manusia diambil kira dan oleh itu, warna juga boleh dianggap sebagai satu fenomena psikologi. Pengolahan berbagai-bagai kegunaan istilah ini merupakan tugas utama falsafah semasa. Oleh sebab persepsi warna berasal daripada kepekaan sel kon dalam retina yang berbeza-beza terhadap bahagian-bahagian spektrum yang berlainan, warna boleh ditakrifkan melalui tahap perangsangan sel-sel itu oleh panjang gelombang cahaya.
Sebenarnya, warna memiliki peranan dalam kehidupan mahupun dalam sebuah karya. Warna adalah dinamika dalam sebuah karya dan warna juga dapat memberikan keindahan yang luar biasa. Selain itu, warna juga mampu mengubah perasaan serta mempengaruhi pemikiran orang yang menghadapinya yang mana ianya mampu memberikan mood kepada individu serta tanggapan individu lain. Di samping itu, warna juga sebagai salah satu elemen daya penarik yang penting dalam penulisan visual seperti penulisan blog. Visual akan menjadi tidak efektif sekiranya ia tidak dapat menarik perhatian pembaca yang menggunakannya. Dalam sebuah website atau sebuah blog, warna juga merupakan sesuatu yang sangat penting untuk mengukur seberapa baiknya blog kita di mata para pembaca. Pembaca akan lebih tertarik dengan artikel yang memiliki warna-warna menarik dibandingkan dengan artikel yang kosong tanpa hiasan warna sedikitpun. Seorang penulis perlu memastikan warna tulisan entri blog tidak terlalu menyerupai dengan warna background blog. Sekiranya pemilihan dan penggunaan warna tulisan yang tidak betul, ianya dapat menyiksa mata para pembaca. Warna tulisan hitam dan background putih merupakan kombinasi yang terbaik. Jangan sesekali menggunakan pelbagai warna dalam tulisan dan elakkan penggunaan warna yang terlalu banyak dalam entri kerana ianya akan membuat pembaca sakit mata. Tambahan pula, warna adalah cara yang paling pantas dan paling kuat untuk menghadirkan transformasi dan melahirkan perspektif-perspektif yang baru terhadap pembaca. Bukan itu sahaja, malah kriteria penulisan blog yang baik adalah warna yang digunakan mestilah menarik perhatian orang ramai yang menampilkan keharmonian antara gambar dengan tulisan di dalam penulisan tersebut. Ketepatan pemilihan warna amat penting dalam mempengaruhi keindahan sesebuah penulisan blog yang hendak dipersembahkan. Pemilihan serta penggunaan warna yang tepat dapat memberikan kesan yang baik atau mendalam terhadap penulisan dan pembaca. Dengan adanya warna-warna pada gambar para pembaca dapat lebih mengerti hal yang di sampaikan dan  kebanyakan pembaca akan lebih mudah menangkap informasi atau maklumat yang ingin disampaikan dengan cara visual (melihat langsung). Sesuatu objek yang kelihatan indah mungkin tidaklah 'cantik' kepada orang lain. Jadi, mesej yang disampaikan serta maksud yang diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan atau hasil karya ini adalah sangat penting. Oleh itu, keindahan dalam sesuatu hasil penulisan itu perlulah dihiasi dengan warna-warni supaya tampak lebih menarik seperti warna-warna pelangi. Tidak dinafikan juga, warna digunakan sebagai simbol dalam mewakili tempat, keadaan, emosi dan sebagainya. Sebenarnya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa warna dalam blog sebenarnya ada kesan atau implikasinya sendiri. Selain daripada penyumbang kepada saiz sesuatu blog yang akan pengaruhi loading blog, ia juga sebenarnya ada satu daya penarik dari segi psikologi. Menurut psikologist warna menghasilkan irama. Psikologist juga mengaitkan warna dengan terapi. Warna yang menarik akan membuatkan pembaca berasa selesa dengan blog penulis, seterusnya tanpa ragu akan membaca entri-entri menarik yang ada di dalam blog penulis.
Jadi, apakah jenis pemilihan dan penggunaan warna yang sesuai untuk aspek visual dalam penulisan blog ini? Secara amnya, warna-warna yang sesuai adalah warna-warna “internet-friendly” atau lebih dikenali sebagai “web safe color”. Warna ini sebenarnya merupakan skema untuk warna asas yang boleh kelihatan di skrin kita. Langkah yang bijak harus dititikberatkan dalam pemilihan warna ketika ingin membuat blog.  Di dalam ilmu warna, ada tiga jenis warna iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas merupakan warna-warna yang paling hebat kuasanya. Ia merupakan warna yang utama dalam pembentukan warna-warna yang lebih pelbagai. Warna asas juga dikenali sebagai warna primer. warna asas terdiri daripada tiga  warna iaitu merah, biru dan kuning. Warna Sekunder ialah warna yang terhasil daripada campuran dua warna asas manakala warna tertier pula ialah campuran satu warna asas dengan warna sekunder di sebelahnya. Ton Warna disebabkan oleh kesan pancaran terang atau gelap sesuatu warna. Ia dihasilkan melalui campuran warna asal dengan putih atau hitam mengikut kadar tertentu. Warna lebih terang jika dicampurkan dengan warna putih. Warna menjadi gelap apabila dicampurkan dengan warna hitam Jika menggunakan cat air, lebih air dicampurkan untuk mendapatkan warna cera. Untuk mendapatkan ton warna gelap, warna ditindihkan lapisan demi lapisan. Ton warna merupakan jenis warna yang berguna untuk mencipta ruang dan bentuk tiga dimensi dalam seni tampak.
Disini terdapat beberapa jenis warna yang digunakan dalam membuat penulisan blog yang memberi maksud tersendiri terhadap penggunaan warna tersebut. Warna memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan seharian. Merah selalu dikaitkan dengan budaya masyarakat cina. Hijau dikaitkan dengan budaya keagamaan dalam Islam. Putih melambangkan kebersihan dan kesucian. Hitam menunjukkan elegan. Selain itu hitam juga boleh membawa maksud kemurungan atau kematian. Warna kuning pula untuk golongan diraja dan kerabatnya. Warna kuning juga sebagai simbolik dalam bidang persilatan. Warna coklat pula lebih ke arah sifat vernakular dan tradisional manakala warna yang pelbagai dan terang pula digunakan untuk sesuatu yang lebih moden dan futuristik. Di Malaysia khususnya rakyatnya agak gemar pilihan warna yang pelbagai. Ramai diantara kita mengetahui warna membuatkan kita lebih yakin dengan diri sendiri dan membuatkan kita sebaliknya sekiranya seseorang itu salah memilih warna yang sesuai dengan diri kita. Masih ramai diantara kita yang tidak mengetahui warna yang dipakai mampu menarik minat seseorang yang mungkin kita tidak kenali.
Daripada pengamatan saya sepanjang saya berblog kebanyakan penulis menggunakan tulisan berwarna gelap contohnya hitam dan latar belakang blog pula berwarna cerah seperti putih. Tiada seorang pun daripada mereka menggunakan tulisan yang berwarna-warni. Jadi, dapat disimpulkan disini bahawa warna pada entri amat memainkan peranan yang penting bagi menarik minat pembaca untuk terus membaca entri penulis. Pada pendapat saya, jika penulis menggunakan tulisan yang terlalu pelbagai warna, sebenarnya penulis telah membunuh mood para pembaca blog yang rata-rata inginkan sesuatu yang santai dan simple. Jadi, penulis haruslah bijak dalam pemilihan warna dalam penulisan blog. Bagi saya, warna adalah pemilihan penting dalam dunia blog kerana sudah tentunya pembaca tidak suka akan blog yang menggunakan warna yang terlalu berat sehingga membuatkan kita pening melihatnya tetapi bagi saya orang yang berlainan berbeza citarasanya. Bukan semua apa yang kita buat akan cantik dipandang oleh warga sekeliling. Jika kita boleh berfikir akan warna yang serba membuatkan blog kita kelihatan menawan, sudah tentu pembaca boleh menerimanya walaupun warna itu bukan warna kegemarannya. Seperti saya, saya memilih warna ungu dan merah jambu sebagai warna dalam penulisan blog saya kerana warnanya yang tidak terlalu berat. Mungkinlah sesetengah pembaca berpendapat bahawa kaum lelaki tidak suka akan pewarnaan di blog saya tetapi bagi saya ia tidak menjadi masalah jika kita boleh gabungkan warna tersebut dengan warna lain yang 50-50 menjadi pilihan manusia seperti putih dan hitam. Bukankah ia tampak hebat jika menggabungkan dua warna tersebut. Jadi, ia sama sekali tidak menjadi masalah kepada pembaca. Walau apapun, pilihlah mengikut citarasa masing-masing. Jika seseorang tidak menyukai blog kita dari segi pewarnaan, pertimbangkan balik apa yang dia cakap dan jika kita tidak setuju, teruskan dengan warna pilihan kita. Lakukan apa yang kita selesa selagi ianya benar dan tidak menjejaskan individu lain. Ini ada sebuah pantun khas dari saya,

Ungu dan merah jambu adalah pilihan hati,
Warna yang terang lagi berseri ,
Ia adalah citarasa tersendiri,
Tidak menjadi masalah sama sekali.

Kesimpulannya, penggunaan aspek visual dalam penulisan dari segi warna dapat memberi pelbagai kesan yang mendalam terhadap pembaca iaitu dapat menjadi sumber inspirasi yang dapat mengubah citarasa, mempengaruhi cara pandangan, ruang , menutupi ketidaksempurnaan dan mewujudkan suasana atau kedamaian yang unik untuk semua orang. Warna merupakan salah satu inspirasi paling berharga di dunia yang paling mudah didapati dan dinikmati. Walaupun kebanyakan kita mempunyai warna kegemaran masing-masing tetapi kita harus mengetahui apakah warna yang memberi kesan negatif dan yang memberi kesan positif dalam kehidupan kita. Jadi, warna itu adalah seni. Sesungguhnya seni itu sangat indah.


Friday 4 May 2012

...Isu Antarabangsa: Kes Pemerdagangan Manusia...

Sejak akhir-akhir ini, kes pemerdagangan manusia merupakan masalah global atau isu antarabangsa yang kian meningkat jumlah statistiknya. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 sahaja dianggarkan 700,000 orang diperdagang setiap tahun bagi tujuan seks. Bagaimanapun, amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Pemerdagangan manusia ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan kira-kira 150,000 orang, majoriti daripadanya adalah kanak-kanak, diseludup dari kawasan Asia Selatan setiap tahun, tetapi penyelidik membuat jangkaan angka ini mungkin tiga kali ganda berikutan keuntungan yang dijana industri itu kira-kira RM110.5 bilion (US$32 bilion) setahun.
Sebenarnya, kesedaran masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia ini masih lagi rendah malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Pemerdagangan manusia bermaksud perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi (Seksyen 2 AAO). Di mana modus operandi termasuklah, penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan, dan memberi atau menerima pembayaran. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah perdagangan manusia ini adalah penguatkuasaan undang- undang yang lemah, kurang pendedahan mengenai jenayah pemerdagangan manusia, kemiskinan atau kesempitan hidup, terpengaruh tawaran kerja, kurang didikan moral atau agama, materialistik dan sebagainya.
Jenayah pemerdagangan manusia ini banyak memberi kesan buruk kepada negara. Langkah berkesan amat perlu untuk membendung masalah ini. Antara kesan buruknya adalah meningkatkan kes berlakunya jenayah dalam negara, menyebabkan imej negara tercemar di peringkat dunia, masalah sosial meningkat, penyakit berjangkit merebak dan banyak berlakunya penindasan.
Walau bagaimanapun Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan usaha bagi membendung isu pemerdagangan manusia ini.  Kerajaan mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.
 Berikutan itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan. Kerjasama maksimum daripada orang awam dan agensi penguatkuasa juga dipertingkatkan. Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin memberi jaminan polis akan mengambil langkah berterusan memerangi pemerdagangan manusia dengan mengadakan lebih banyak operasi dalam usaha menyelamatkan mangsa sindiket. 
Ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Kesimpulannya, Ditelan mati emak, diluah mati bapa, Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana. Aktiviti pemerdagangan orang ini mempunyai jaringan dan sindiket profesional yang harus dilihat secara menyeluruh dan jika tidak dibanteras secepat mungkin kerana ianya boleh menjejaskan imej, prestasi dan nama baik negara di mata dunia terutama imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.


Wednesday 2 May 2012

...Kerjaya Pilihan Saya...


Saya sering kali ditanya dan mungkin terfikir apakah kerjaya pilihan yang sesuai dengan diri saya. Kerjaya apakah yang mampu menjadikan saya berjaya di dunia mahupun di akhirat. Kerjaya seperti apakah yang mampu memberikan saya kepuasan daripada bentuk keberkatan, masa, gaji,
 semangat melakukannya dan lain-lain. Pening juga jika memikirkannya. Adakah kerjaya seperti peguam, ahli muzik, doktor, jurutera, ahli diplomatik, arkitek atau akauntan merupakan kerjaya pilihan yang perlu dipilih?
Sebenarnya, sebelum saya menjejakkan kaki ke universiti, kerjaya pilihan saya adalah ingin menjadi seorang pendidik iaitu guru. Profesion guru boleh dikatakan menjadi pilihan utama berbanding profesion yang lain. Ramai juga yang sudah bekerja bertukar kepada profesion perguruan.
Mengapa saya ingin menjadi seorang guru? Adakah gajinya besar? Tentunya tidak. Saya memilih kerjaya sebagai seorang guru bukanlah mengejar kepada jumlah gaji yang besar dan jumlah cuti yang banyak semata-mata. Bukanlah mudah untuk menjadi guru. Waktu kerja rasmi seorang guru sperti kelas tambahan, aktiviti ko-kurikulum, membuat soalan peperiksaan, memeriksa kertas jawapan peperiksaan dan membuat perancangan pengajaran sebenarnya mengabil lebih dari 8 jam waktu kerja.
 Itu belum lagi termasuk waktu berfikir untuk mencari pendekatan-pendekatan yang sesuai bagi memberikan pemahaman kepada para pelajar. Karisma seorang guru bukan sembarangan. Hanya jika saya akan tahan untuk memegang jawatan sebagai guru. Guru bukan sekadar pengajar. Guru bukan sekadar pendidik. Tetapi gurulah yang melahirkan perdana menteri, doktor, peguam, dan sebagainya. Guru merupakan kerjaya yang sangat mulia. Atas sebab itulah saya ingin menjadi seorang guru. Saya tidak akan memilih untuk menjadi guru jika saya hanya berniat untuk mengambil keuntungan yang diberikan kerajaan kepada profesion ini kerana jika dalaman saya tidak bersih bagaimana saya harus memberikan didikan kepada anak bangsa nanti.
Saya mempunyai ramai pendorong seperti ibu saudara dan bapa saudara saya yang kebanyakkannya bekerja sebagai guru. Abang saya juga sebagai seorang guru dan terutamanya abah saya yang ingin sangat melihat satu-satu anak perempuannya menjadi seorang guru. Apa yang saya ingat, minat untuk menjadi pendidik ini mula tumbuh dan membuak-buak apabila saya menjadikan guru-guru saya sebagai idola. Keperibadian mereka yang mulia, bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu membuatkan hati saya tertawan dengan gelaran cikgu. Guru ekonomi tingkatan 6 saya semasa di sekolah menengah adalah Pn Rohani bt Abdul Rahman. Dia banyak menyuntik semangat dan minat saya untuk menjadi seorang pendidik seperti beliau. Sehinggalah selepas saya mendapat keputusan STPM saya memohon mengambil bidang Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di UPSI. Malangnya saya hanya dipanggil untuk temuduga sahaja tetapi tidak berjaya untuk memasuki universiti tersebut. Saya agak kecewa ketika itu kerana saya rasa impian saya untuk menjadi seorang guru sudah musnah. Apa-apa pun, saya tetap bersyukur kerana ditawarkan untuk memasuki UUM dan program yang ditawarkan untuk saya ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hak Ehwal Antarabangsa yang pada mulanya saya rasa memang tiada kaitan langsung dengan bidang pendidikan. Tetapi lama –kelamaan saya mampu berfikir luas iaitu untuk menjadi seorang pendidik tidak semestinya perlu mengambil program pendidikan. Walaupun saya tidak mampu menjadi guru kepada pelajar-pelajar saya tetapi saya mampu menjadi seorang guru kepada bakal anak-anak saya nanti. 
Insyaallah. Jika ada rezeki, selepas saya selesai menamatkan pengajian saya di UUM ini, saya akan teruskan usaha saya untuk menjadi seorang guru dengan menyambung pengajian saya dalam bidang pendidikan pula. Bak kata pepatah “ Usaha tangga kejayaan” dan “Genggam bara api biar sampai jadi arang”. Saya akan cuba memenuhi impian orang-orang sekeliling saya yang inginkan saya menjadi seorang guru terutamnya abah saya. Saya tidak akan sia-siakan pengorbanan abah yang tidak henti-henti memberi semangat kepada saya untuk menjadi insan mulia iaitu seorang guru.
Kesimpulanya, guru bukan sekadar seorang guru. Malah lebih dari itu. Mengajar adalah perkara yang mudah, tapi mendidik bukanlah suatu yang mudah. Memang benar, pelajar sekolah merupakan pasaran dakwah yang luas tetapi adakah guru-guru menyedari dan berusaha menggunakan peluang yang mereka ada ini. Mendidik pelajar dari sudut rohani, jasmani, minda dan spritual sehingga berjaya mengubah keadaan pelajarnya ke arah yang lebih baik merupakan tanggungjawab yang seharusnya digalas oleh setiap yang mengaku dirinya seorang pendidik. Apatah lagi, sebagai pendidik di Malaysia yang menjunjung Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dengan jelas menyebut pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan dalam memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan sepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelak, rohani, emosi dan jasmani. Sehinggalah uasaha ini berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Tetapi adakah saya akan mengambil perhatian serius dengan tanggungjawab yang besar ini nanti? Tepuk dada, tanyalah Iman. Sekiranya saya telah memilih jalan ini sebagai pilihan saya, saya perlu menggalas tanggungjawabnya dengan ikhlas dan baik, bukan menjadikannya ibarat pilihan terakhir dalam kehidupan berkerjaya saya kelak.

Tuesday 1 May 2012

...Tokoh Idola Saya...

Tokoh idola saya ialah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut tentang beliau, saya ingin menceritakan serba sedikit tentang latar belakang, pendidikan dan kerjaya beliau. Beliau dilahirkan pada 20 Disember 1925, di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada 9 orang bersaudara dari seorang ibu keturunan Melayu dan bapanya India Muslim. Kerjaya bapanya sebagai guru besar sekolah mempengaruhi keperibadian beliau sebagai individu yang tegas dan berdisiplin.
Pendidikan beliau bermula di sekolah Melayu Seberang Perak selama 2 tahun dan kemudiannya dilanjutkan ke sekolah Inggeris di Alor Star yang kini dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1947, beliau memasuki Universiti Malaya di Singapura dengan mengambil perubatan sebagai programnya. Di zaman persekolahan, bidang penulisan begitu menarik minatnya sehingga diangkat menjadi Ketua Sidang Redaksi dan menulis di dalam Rencana Pengarang sekolahnya iaitu Darulaman. Minatnya yang mendalam dalam penulisan turut dikembangkan ketika berada di universiti. Beliau muncul sebagai mahasiswa yang prolifik dan ketika usianya 21 tahun, beliau banyak menulis artiket di akhbar New Straits Times dan C.h.e Det merupakan nama samaran yang sering dipakai. Tun Dr. Mahathir dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada tahun 1953.
Mengenai kerjayanya pula, beliau menjawat jawatan Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Star pada tahun 1956. Kemudiannya sebagai Pegawai Perubatan di Langkawi selama enam bulan. Setelah itu, beliau kembali aktif menyumbangkan jasanya di Hospital Besar Alor Star. Beliau melepaskan jawatannya di dalam kerajaan pada tahun 1957 untuk membuka klinik persendirian di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Star yang dikenali dengan Klinik MAHA.
Penglibatannya dalam arena politik bermula pada tahun 1945, apabila secara aktif terlibat di dalam beberapa kesatuan seperti Seberkas, Kesatuan Kedah, Kesatuan Melayu Kedah dan UMNO. Namanya mula popular ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Ketika itu, beliau sering mengeluarkan pandangan yang menentang sikap toleransi Tunku Abdul Rahman yang keterlaluan terhadap etnik Cina. Bagi beliau, sikap Tunku Abdul Rahman akan menggugat masa depan etnik Melayu di Malaysia.Pada 10 Mei 1969, kerjaya politik beliau agak malap apabila kalah dalam pilihan raya umum. Ketika ini, secara terbuka beliau mengkritik keperibadian Tunku Abdul Rahman dan beberapa dasar yang menurutnya merugikan orang Melayu. Implikasi dari kritikan tersebut, keanggotaannya dalam UMNO telah dilucutkan selepas satu persedangan khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 22 September 1969.
Walau bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir masih meneruskan perjuangannya dalam arena politik dan beliau sempat menghasilkan buku The Malay Dilemma yang menyalurkan aspirasi beliau mengenai masalah etnik Melayu. Tetapi buku ini telah diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman. Ketika ini, karier politik beliau agak terumbang ambing. Beliau kembali merujuk keanggotaannya dalam UMNO pada tahun 1972 dan menjadi senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu di bawah tiket Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 1974 dan menang tanpa bertanding. Seterusnya beliau dilantik
 sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Kemudiannya beliau menjadi Naib Presiden UMNO pada Jun 1975. Pada 5 mac 1976 pula, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Hussien Onn dan pada 1 Januari 1978, beliau menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Di dalam UMNO beliau menjadi Naib Presiden UMNO yang ketiga dan telah menang jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding di dalam perhimpinan agung UMNO berikutnya. Setelah perletakan jawatan Tun Hussien Onn, beliau memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa sebarang pertandingan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981. Ketika secara rasmi menjadi Perdana Menteri, beliau telah membangkitkan harapan dan keyakinan terhadap seluruh rakyat bahawa Malaysia harus mengubah orientasinya untuk menghadapi dunia. 
Saya berpendapat bahawa, Tun Dr. Mahathir telah menyuntik benih perubahan terhadap rakyat Malaysia. Beliau telah membina landasan untuk negara mengambil tempat di kalangan negara-negara membangun. Beliau turut memikul tanggungjawab berat mengubah persepsi masyarakat agar kemajuan negara dapat dicapai.
Apa yang membuatkan saya menjadikan beliau sebagai idola ialah sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya rasa sangat beruntung kerana mempunyai negarawan, nasionalis yang hebat. Tetapi sayangnya, ramai anak muda iaitu generasi sekarang kurang mengetahui tentang tokoh negara ini. Apa yang saya harapkan agar generasi muda sekarang dan yang akan datang tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah merubah wajah Malaysia dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa.
Pelbagai projek gergasi telah dilaksanakan oleh beliau. Antara bukti yang dapat dilihat adalah pengeluaran kereta Proton melalui HICOM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, Jambatan Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas.Tun Dr. Mahathir digelar Bapa Pemodenan Malaysia, Bapa Perindustrian, Bapa IT dan pelbagai gelaran lagi. Tetapi tokoh ini tidak mahu namanya diabadikan pada mana-mana bangunan, jalan atau institut pengajian tinggi. Namun yang pasti, dari sudut linguistik, nama Tun Dr. Mahathir sudah tidak asing lagi di Malaysia. Ingatlah para pembaca sekalian, tanpa tokoh ini belum tentu kita berpeluang hidup di negara yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di kalangan negara-negara maju dunia. Terima kasih Tun Dr. Mahathir.




Sunday 1 April 2012

_Selamat Hari Lahir Ummi_

Hari ini hari lahir ibunda saya. Saya panggil dia 'Ummi'. 1 APRIL 2012...Ummi sudah berumur 46 tahun hari ini. Selamat ulang tahun ummi. Sudah semakin berumur ummi tahun ini tetapi bagi kakak ummi tetap muda dan semakin cantik. Harap-harap tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang lagi gemilang. Kakak sayang sangat-sangat kat ummi. Tiada kata yang mampu diungkapkan selain memanjatkan doa kepada Allah semoga memanjangkan usia ummi, murahkan rezeki ummi dan memberkati diri ummi sentiasa. Terima kasih ummi kerana sentiasa memahami dan memberi sokongan tatkala diri kakak terlalu lemah untuk berdepan dengan ujian dan dugaan. Selamat hari lahir ummi...selamat hari lahir....(peluk-cium)



" Ya Allah, ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil " Amin...

Saturday 24 March 2012

...Kecemerlangan Seseorang Mahasiswa di Universiti...

Dalam meniti usia remaja iaitu sebagai pelajar atau mahasiswa, seseorang itu harus ada wawasan diri bagi mencapai kecemerlangan. Kita perlu mempunyai prinsip yang kukuh dan tidak mudah goyah ditiup angin atau tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana anasir yang melalaikan.
 Apa itu kecemerlangan? Bagi seorang pelajar atau mahasiswa kita mungkin menjawab bahawa kecemerlangan adalah memperolehi keputusan yang baik di dalam peperiksaan. Kecemerlangan seseorang pelajar atau mahasiswa sering dikaitkan dengan keputusan yang dikira dari sudut bilangan A atau PMK yang diperolehi.  Apakah dengan keputusan itu sudah cukup untuk diri kita digelar cemerlang serta dapat menentukan masa depan yang cerah untuk kita? 
Sebenarnya, kecemerlangan seharusnya lahir dari dua sudut yang dilihat sebagai penting dan saling memerlukan. Pelajar yang cemerlang akademik tetapi buruk sahsiahnya mereka ini akan mendatangkan kesusahan kepada majikan kita kerana tidak  mempunyai sikap yang betul terhadap pekerjaan bahkan mungkin keluarga kita. Tetapi sebaliknya jika pelajar tersebut cemerlang dari sudut akademik dan sahsiahnya sudah pasti bukan sahaja mampu bekerja dengan baik bahkan mempunyai sikap yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani serta inteleknya.
Kecemerlangan ialah kebolehan dan kemampuan diri menggabung dan menggunakan keseluruhan potensi yang dianugerahkan Allah kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu ke jalan yang diredhai Allah. Ianya meliputi memperseimbang dan mempergiatkan pelbagai kecerdasan yang ada pada diri individu ke arah penjanaan minda yang kritis dan kreatif. Ianya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan individu dan masyarakat umum sepanjang hayatkecemerlangan dalam erti kata yang sepenuhnya adalah lebih luas. Ianya adalah melibatkan satu bentuk proses yang berterusan dan ini bermakna kecemerlangan itu adalah sesuatu yang berterusan dan tidak pernah berakhir.
Kecemerlangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kecemerlangan di dunia dan kecemerlangan di akhirat. Kecemerlangan di dunia adalah petunjuk kecemerlangan di akhirat. Imam Al Ghazali di dalam karya agungnya Ihya Ilumiddin mengatakan bahawa ciri-ciri kebahagiaan di akhirat yang tidak ada di dunia boleh dibahagikan kepada empat iaitu kekal abadi, kebahagian berkekalan, tidak wujud lagi kejahilan dan tidak wujud lagi kemiskinan. Jika tempoh masa hidup di dunia ini tidak diisi dengan sebaik-baiknya, maka kekesalan dan kekecewaan akan menimpa kita di akhirat. Kecemerlangan hakiki adalah apabila seseorang itu dapat memasuki syurga dan terselamat dari seksaan api neraka di akhirat nanti. 
Walau bagaimanapun, Islam juga memandang kecemerlangan di dunia sebagai penting. Kecemerlangan di dunia menjadi bermakna apabila ianya dijadikan landasan untuk mencapai kecemerlangan di akhirat. Piawaian untuk memasuki syurga milik Allah mestilah menepati acuan yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan wahyuNya melalui al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan acuan ini sahaja yang dapat menjadikan manusia cemerlang di dunia dan di akhirat.
Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di Universiti.  

Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap kejayaan seseorang pelajar didalam bidang akademik di Universiti. Kunci kejayaan bagi seorang mahasiswa rabbani ada tiga. Integrasi ketiga-tiga formula kecemerlangan ini insyaAllah akan menumbuhkan seorang mahasiswa yang seimbang kecemerlangannya di dunia dan di akhirat. Pertama sebagai mahasiswa kita perlu memiliki keimanan yang mendalam terhadap Deen yang satu-satunya diredhai Allah SWT. Iman menjadi pemancar, penggerak dan pencetus kegigihan kita untuk belajar dan berdakwah. 
Mahasiswa yang beriman tidak ada masa untuk membuang masa. Mahasiswa yang cemerlang tidak ada masa melakukan perbuatan dan berbincang perkara-perkara yang sia-sia dan yang tidak berguna. Allah SWT telah memaklumkan kepada kita faktor yang menyebabkan kita tidak cemerlang adalah kerana kita sering terjebak dengan dua perkara di atas, melakukan perbuatan dan percakapan yang sia-sia, sehinggakan masa kita banyak berlalu dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan tidak berguna. 
Kedua, sebagai mahasiswa kita perlu bijak mengurus diri dengan efektif. Salah satu faktor besar yang sering menyebabkan mahasiswa tidak cemerlang, samada mahasiswa biasa-biasa mahupun mahasiswa yang bersemangat dengan kerja dakwah dan tarbiyah adalah pengabaian dalam pengurusan diri yang baik. Ketiga, sebagai mahasiswa kita perlu usaha dan berjihad secara berterusan. ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’. Itulah antara pepatah melayu yang boleh kita jadikan ikhtibar dalam kehidupan.
Tugas sebagai seorang mahasiswa amat besar, mempersiapkan dirinya dengan penguasaan ilmu, kemahiran keinsanan dan kepimpinan, menghimpun sebanyak mungkin bekalan dakwah dan konsistensi dengan tarbiyah islamiyyah. Di sepanjang perjalanan untuk mencapai perkara tersebut, kita akan bertemu dengan palbagai ujian. 
Kesimpulannya, Mari kita bertanya pada diri kita sendiri. Bagaimana insan-insan yang hebat menjadi sangat produktif? Bagaimana mereka sentiasa tenang dan stabil sehingga memahami dengan tepat di mana mereka harus meletakkan langkah-langkah kaki mereka? Bagaimana mereka mengurus masa mereka dalam pelbagai situasi realiti kehidupan? Bagaimana mereka melihat pelbagai situasi dari pelbagai sudut pandang? Bagaimana mereka menyelesaikan masalah dan bagaimana mereka meletakkan keutamaan dalam mengurus aktiviti kehidupan, apa yang harus dilaksanakan pada hari ini dan apa yang harus di tunda hingga hari esok. 
Bagaimana mereka mengurus kehidupan agar tidak sentiasa bergolak dan cacamarba, menghadapi perkara-perkara yang tidak di duga dan halangan-halangan di sepanjang perjalanan? Juga bagaimana mereka ini memberi pengaruh kepada orang lain dan memberi teladan yang baik di mana pun berada? Tepuk dada, tanya hati dan berfikirlah.
 Marilah kita sebagai pelajar mahupun mahasiswa berusaha, berdoa, bertawakal dan mintalah kepada Allah SWT, jangan mengeluh. Allah itu maha kaya, kita memerlukan kasih dan simpatNya. Maka ibadah kitalah menjadi penghubung kita denganNya agar kita mampu meraih pahala dan redha Allah serta mampu pula meraih syurga dan selamat dari api neraka.
 Belajarlah dengan ikhlas dan keranaNya, cemerlanglah keranaNya bukan kerana tuntutan Universiti, anugerah dekan, kerjaya terbilang dan tiket untuk menghimpun kekayaan , sebaliknya belajarlah kerana mencari redha dan syurga Allah SWT, insyaAllah kejayaan lain akan menyusuri, yakinlah!

 



"Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan." 

"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya."