~Welcome to my BLOG~

Assalamualaikum. Hai!!! Saya "Farah Hannan bt Abdul Nasir" sebagai pemilik sah blog ini. Terima kasih diucapkan kepada sesiapa yang sudi membaca blog picisan yang tidak seberapa ini...

Sunday 18 March 2012

...Konsep 1Malaysia...


Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Ia adalah kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. 
Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain. Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Tiada perbezaan antara bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik. Kerajaan menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan penghasilan yang sama. 
Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Slogan satu malaysia pada 2009 adalah "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Slogan pada 2010 pula ialah "1 Malaysia Menjana Transformasi", Slogan-slogan tersebut juga adalah tema sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke 52 dan 53. Logo 1Malaysia terbentuk dari nombor satu dan berlatarbelakangkan bendera Malaysia. Logo Tersebut melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu ‘budaya cemerlang’, ‘ketabahan’, ‘rendah hati’, ‘penerimaan’, ‘kesetiaan’, ‘meritokrasi’, ‘pendidikan’ dan ‘integriti’. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong- menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama. Tradisi berbudi bahasa dan bertolak ansur yang menjadi warisan bangsa Malaysia dari berbagai keturunan sebenarnya telah diamalkan di dalam masyarakat kota dan desa semenjak berdekat lamanya, termasuklah ketika negara kita masih belum mencapai kemerdekaannya.
Kita boleh menyingkap sejarah kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu ketika penjajahan Inggeris dulu. Mereka diterima baik oleh orang Melayu, malah di kampung kampung, orang Cina bebas berniaga dan bercucuk tanam Orang Melayu pula yang membeli di kedai-kedai runcit mereka, atau membeli sayur-sayuran hasil tanaman mereka setiap hari. Orang Cina dan India menghormati Penghulu dan Ketua Kampung yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu. Pada musim perayaan, seperti tahun baru Cina, orang Cina sering menghantar buah-buahan dan kuih muih kepada Tok Penghulu dan jiran sekampung. Demikian juga ketika orang Melayu menyambut Hari Raya, orang Cina dan India tidak dilupakan untuk dijemput hadir ke rumah-rumah mereka.
Amalan masyarakat Melayu, India dan Cina inilah yang cuba dikonsepsikan semula oleh Perdana Menteri sekarang dalam bentuk yang lebih strategik dan sistematik dalam gagasan 1Malaysia agar menjadi satu gagasan bangsa untuk diperjuangkan penghayatan dan pelaksanaannya dengan lebih gigih lagi oleh rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan bahasa.
Dengan itu ternyata bahawa segala unsur penyatuan dan elemen kesepaduan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan etnik ini, mungkin selama ini agak berselerak di sana sini, dan dalam perjalanan masa yang semakin jauh meninggalkan tarikh kebebasan negara dari belenggu penjajahan, iaitu dengan tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957. Tarikh itu mulai meninggalkan rakyat dan negara selama puluhan tahun. Segala hakikat sejarah perpaduan dan kesefahaman di antara rakyat umumnya mungkin semakin terhakis. Walau pun diakui bahawa nilai-nilai hidup dalam rangka kesepaduan itu mungkin masih diamalkan oleh sebahagian masyarakat, tetapi sebahagian yang lain telah mengabaikannya, atau mungkin juga terdapat sesetengah kalangan masyarakat yang menyedari akan kepentingannya, sedangkan sesetengah yang lain merasakannya tidak penting lagi.
Maka gagasan 1Malaysia merupakan usaha teratur dan strategik untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik itu agar dapat difahami oleh semua kalangan di dalam masyarakat Malaysia, seterusnya dapat dihayati semula dengan penuh kesedaran dan direalisasikan sebagai satu cara hidup yang berterusan untuk pembangunan negara bangsa yang bertamadun. Memang tidak dapat dinafi kan bahawa gagasan 1Malaysia ketika mulai dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri telah menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak kalangan dalam masyarakat kita. Masyarakat umum mulai membuat pentafsiran sendiri terhadap gagasan tersebut. 

No comments:

Post a Comment